.



Cg. HAJI WAN OMAR BIN MAHMUD, AMN., PJK.
Guru Besar SKTB.K.TERENGGANU
1992 - 1999

Beliau anak watan Terengganu kelahiran Kuala Berang, 15-12-1944 waktu pemerintahan Jepun. Beliau telah bersara pada 16-12-1999. Beliau berpendidikan Melayu dan Inggeris dan memasuki maktab perguruan dalam tahun 1964 sewaktu masih di tingkatan V. Beliau lulus dalam tahun 1966 dan mula menjadi guru terlatih kelulusan L.C.E (Lower Certificate of Education) pada 1967. Beliau mengajar di beberapa buah sekolah rendah sebelum dipindahkan mengajar di sekolah menengah mulai tahun 1975 setelah lulus sijil penuh HSC dalam tahun 1973.

Dalam 1982 beliau mengikuti kursus pakar selama setahun dalam bidang teknologi pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Kemudian, pada pertengahan 1986 dilantik sebagai pengawai penyelaras dan pengasas Pusat Sumber Daerah, Kuala Terengganu yang pertama dan pada tahun yang sama dilantik pula sebagai Penolong Kanan sekolah menengah.

Dalam 1987 beliau dilantik menjadi pengetua sekolah menengah dan beliau sempat menjadi pengetua di tiga buah sekolah menengah. Kemudian dalam tahun 1991 beliau kembali ke pangkuan sekolah rendah sebagai Guru Besar sekolah gred A. Beilau berkhidmat di tiga buah sekolah rendah sebelum bersara dan sekolah beliau terakhir ialah Sekolah Kebangsaan Tengki Bariah, Kuala Terengganu.

Selain bertugas sebagai pendidik beliau terlibat sebagai tenaga pengajar dalam kursus anjuran jabatan dan PPD serta telah menyampaikan kursus kepada guru-guru, Guru Besar dan Pengetua dalam bidang Teknologi Pendidikan, Teknologi Maklumat (ICT dan asas HTML untuk membina laman web sekolah dan jabatan), Pengurusan Cemerlang, ISO 9000, TQM serta photography.

Kemuncak perkhidmatan beliau ialah bila beliau dihantar berkursus di OISE (Ontario Institute for Studies in Education) Toronto, Ontario, Canada pada tahun 1994 dalam "Special Certificate in School Leadership" dan menjelajah Amerika Utara sebanyak dua kali. Beliau juga pernah diamanahkan oleh JPNT untuk menyampaikan kertas kerja dalam Seminar Pendidikan Kebangsaan di IAB (Institut Aminuddin Baki). Beliau juga mahir dengan komputer dan pakar dalam pembinaan laman web. Sebagai bukti, keseluruhan laman web sekolahnya adalah hasil kerja beliau sendiri. Beliau juga webmaster kepada laman "Terengganu Edu-Mega Web" JPNT (Tak sempat disiapkan sebelum bersara) dan banyak lagi laman lain di internet.Beliau sedang giat berusaha untuk menyebarkan ilmu pembinaan laman web kepada warga Negeri Terengganu Darul Iman khususnya, insya'Allah.

.