LINKS
ARCHIVE
« March 2020 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31
You are not logged in. Log in
Sunday, 27 January 2008
Pohon Sumbangan Gambar Lama Kuala Berang
 
Gambar-gambar lama bersejarah Kuala Berang amat diperlukan di sini. Jika anda ada menyimpannya harap emailkan kepada cgwanomar@yahoo.com berserta catatan untuk dipaparkan di sini.

Gambar 1: Kuala Berang Dalam Tahun 1950an

Gambar 2: Kereta Tahun 1950an dalam  Pekan Kuala Berang


Posted by cg-10 at 9:38 AM WST
Updated: Thursday, 15 April 2010 11:02 AM JST
Post Comment | View Comments (1) | Permalink
Friday, 18 January 2008

AKHIR TAHUN LIMA PULUHAN

 

Perkhemahan Pengakap

           Inilah merupakan peristiwa yang sukar penulis lupakan.Sekolah kami mengadakan perkhemahan pengakap tahunan. Penulis dan rakan-rakan, sebagai ahli pasukan pengakap terpaksa menyertainya. Penulis ketika itu dalam kelas SMC II. Khemah kami dibina daripada kayu yang dicari dari hutan berhampiran. Mereka yang keriatif menggunakan lalang sebagai dinding khemah. Ia dijalin dengan rapi oleh anggota pasukan khemah tersebut untuk dijadikan dinding. Hasilnya amat menarik dan ia mendapat pujian Pesuruhjaya Pengakap yang datang membuat pemeriksaan pada keesokan harinya.

 

Pada waktu malamnya pula, acara di sekitar unggun api berjalan dengan cukup meriah. Waktu itu kami tidak terlalu bergantung kepada guru-guru kami. Boleh dikatakan semua aktiviti kami rancang dan uruskan sendiri. Guru-guru hanya memberikan sokongan dari belakang. Kami merasa sungguh seronok pada malam itu.

 

Dalam keadaan keletihan kami masuk dan tidur dalam bilik darjah, kerana kami tidak dibenarkan bermalam dalam khemah. Bermalam di luar agak merbahaya kerana kami berada di pinggir hutan dan penghuni hutan boleh mengancam keselamatan kami semua.

 

Waktu tidur itulah sesuatu yang amat melucukan berlaku, kerana ketika bangun pagi kami dapati "barang" kami semua terangkai antara satu dengan lain. Kami dapati beberapa orang di antara kami telah bertindak melakukannya pada waktu kami semua sedang tidur. Beliau menggunakan tali benang untuk merangkaikan "barang" kami itu. Nasib baik tiada seorang pun yang cedera. Kami semua ketawa sepuas-puasnya kerana peristiwa yang amat melucukan itu.

 

Abu Bakar, Zainal Awang, Su Ting, Wan Muda dan Abdul Rahman merupakan kawan-kawan penulis ketika di sekolah rendah Inggeris. Zakaria dan Yahaya Ismail juga tidak dapat penulis lupakan. Penulis tidak tahu di mana Ali Pak Mat Jawa sekarang. Bapanya merupakan seorang pendatang dari Indonesia.

 

Kira-kira pukul 2.00 petang Pesuruhjaya Pengakap Negeri hadir dan kami terpaksa berada di khemah masing-masing, siap sedia untuk dilawati. Tiba-tiba seseorang teringatkan seperiuk nasi yang hangus sampai hitam kerana terbiar di dapur setelah terlalu leka beraktiviti. Kami melemparnya ke dalam semak, jauh daripada pandangan sesiapa. Kami takut kalau-kalau bau nasi hangit itu dapat dikesani oleh Pesuruhjaya Pengakap yang kami geruni.

 

Peperiksaan Kemasukan Ke Sekolah Menengah

Kami semua dikehendaki menduduki Peperiksaan Kemasukan Ke Sekolah Menengah atau disebut sebagai Standard Six Entrance Examination dalam tahun akhir persekolahan sekolah rendah, ia itu Darjah VI.

 

Kami semua sangat kuat belajar. Su Ting, Zakaria, Yahya dan penulis tinggal di asrama sekolah dengan izin Headmaster dalam cuti penggal kerana ingin belajar dalam kumpulan agar lulus cemerlang dalam peperiksaan. Sekolah tidak mengadakan kelas tambahan seperti sekarang ini. Kami memasak sendiri dan menguruskan diri kami sendiri ketika itu.

 

Kami belajar sampai jauh malam tiap-tiap malam. Kalau tak silap penulis, waktu itu kami terpaksa mengambil empat mata pelajaran, iaitu mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan General Knowledge. Perlu diingat, kami semua berada di sekolah Inggeris. Waktu di sekolah kami tidak dibenarkan sesiapapun bercakap dalam Bahasa Melayu. Murid yang didapati bercakap dalam Bahasa Melayu, jika ditangkap oleh pengawas, didenda sebanyak 5 sen. Penulis beruntug kerana penulis seorang pengawas. Tetapi, seingat penulis, penulis tidak pernah menangkap sesiapa.

 

Abang penulis tidak belajar di sekolah Inggeris. Jadi, penulis selalu sahaja diejek oleh abang kerana terlalu gemar bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun waktu di luar sekolah apabila penulis bersama kawan-kawan sesekolah. Eng Lian, rakan sesekolah penulis adalah jiran sebelah rumah. Penulis selalu bercakap Inggeris dengannya. Abang penulis mengatakan penulis berangan-angan nak jadi orang putih. Sesuatu yang sebaliknya berlaku sekarang ini. Murid-murid sentiasa didorong untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris di dalam dan di luar sekolah. Malangnya dorongan hanya tinggal sebagai dorongan. Sambutannya mendukacitakan. Murid zaman silam bersungguh berlatih dan bercakap Inggeris walaupun di luar sekolah. Murid sekarang dalam kelas Bahasa Inggeris pun bercakap dalam Bahasa ibunda. Barangkali, itulah sebabnya mengapa murid sekarang lemah dalam Bahasa Inggeris.

 

Di sekolah kami menggunakan buku-buku import seperti The Oxford English Course, Everyday Classics dan The New Method Malayan Readers. Kami benar-benar memberikan perhatian kepada pelajaran Bahasa Inggeris kerana ingin melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang ketika itu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Walaupun ketika itu sudah ada aliran Melayu yang di wujudkan di sekolah menengah Inggeris, bilangan murid yang diterima masuk agak terhad.

 

Pegawai Daerah Penjajah


Pegawai Daerah (DO) ketika itu ialah seorang pegawai berbangsa Australia. Dan beliau tinggal di rumah besar atas bukit. Kami sering naik ke rumahnya menonton wayang gambar bisu 8mm kerana di rumahnya ada menggunakan generetor sedangkan seluruh pekan itu tidak berelektrik. Ini merupakan wayang gambar percuma yang ketiga selain menonton wayang gambar di balai polis dan wayang gambar jabatan penerangan.

 

Perkara yang menarik pada hemat penulis ialah tentang borang-borang yang terdapat di pejabat daerah. Kebanyakan borang adalah bertulisan Jawi sedangkan "DO"nya berbangsa Australia (Inggeris). Beliau pula pandai mengambil hati orang Melayu dengan sentiasa berbaju Melayu dan berkain ketika di rumah.

Malangnya, mabuk arak menjadi kebiasaan di kalangan semua kaum, terutama bila ada sesuatu jamuan di Pejabat Daerah. Bagaimanapun, tidak semua yang meminum minuman haram itu; hanya segelintir yang kurang penghayatan agama yang terjebak dengan kegiatan meminum minuman haram itu. Pada zaman itu juga terdapat beberapa pegawai Melayu yang berlagak seperti orang Inggeris, berseluar pendek, berstokin panjang dengan rokok Craven A atau rokok "555" dalam tin di tangan. Ada di antara mereka hanya pandai berlagak seperti orang Inggeris, tetapi hanya tahu sepatah dua bahasa Inggeris. Dalam era inilah banyak perkataan Inggeris bertukar sebutan. Umpamanya, perkatan,"government" bertukar menjadi, "gomen" dan "driver" berubah menjadi "drebar". Mereka yang benar-benar berpendidikan Inggeris, nampaknya tidak pula berlagak keterlaluan sedemikian.Cuma, mereka yang ke sana kemari dengan hanya memakai seluar pendek boleh dilihat di mana-mana.

 

Kempen Pilihanraya


Semangat ingin mencapai kemerdekaan meluap-luap. Semua pemimpin politik berusaha bersungguh untuk mencapai kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putera, Perdana Menteri Pertama negara kita, Dato' Onn Jaafar, Dato Jaafar Albar dan lain-lain sering datang ke pekan kami untuk menyampaikan ucapan dalam rapat umum politik.

 

Satu perkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah tentang kempen pilihanraya yang dijalankan. Semuanya berlaku dalam rapat umum yang besar; tidak ada ceramah yang dijalankan secara tertutup macam sekarang. Penulis acap kali mengikuti rapat umum pemimpin-pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn, walaupun penulis masih kanak-kanak waktu itu. Ini merupakan titik permulaan pemerintahan sendiri Tanah Melayu dan lagu "Mari Mengundi" yang dinyanyikan oleh Zainal Alam itu sentiasa berkumandang di corong radio menggesa rakyat Tanah Melayu keluar mengundi beramai-ramai dalam tahun 1955.

 

Akhirnya, pada 31 Ogos, 1957 Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya dan terlepas daripada cengkaman penjajahan British. Laungan,"Merdeka !" sering didengar di mana jua kita berada. Semua orang menunjukkan wajah yang berseri-seri kerana telah bebas dan merdeka. Pada malam menjelang 31 Ogos seluruh bangunan dihiasi dengan lampu berwarna warni dan tanglung kerana Pejabat Daerah menganjurkan pertandingan bangunan cantik. Lampu-lampu dinyalakan serentak tepat pada detik jam 12:00 tengah malam. Seluruh bandar menjadi hidup bagaikan berada di alam mimpi. Kebetulan pada malam itu kami baru selesai menonton filem Hindustan. Filem itu ditayangkan di panggung terbuka di mana kami duduk di tanah beralaskan tikar dan panggung itu sendiri hanya didindingkan dengan dinding daun kelapa. Satu tiket masuk bagi kanak-kanak hanya berharga 15 sen.

 

Kami semua turut gembira menjadi anak-anak merdeka. Satu ketika, Seri Paduka Yang Di Pertuan Agung yang pertama telah melawat pekan kami. Penulis terpilih menyertai koir unruk menyanyikan lagu Negaraku. Malangnya, penulis tidak menghadirkan diri ketika lagu itu dinyanyikan kerana penulis gagal menyediakan pakaian Melayu yang sesuai bagi acara itu. Nenek tidak dapat membantu menyediakannya waktu itu. Acara di mana lagu itu dinyanyikan diadakan tidak jauh dari rumah penulis, kerana rumah penulis dalam pekan. Kerana takut dimarahi guru yang memimpin pasukan koir itu, penulis hanya melihat dari jauh menerusi tingkap di rumah penulis.


Posted by cg-10 at 10:32 PM WST
Updated: Thursday, 15 April 2010 9:20 AM JST
Post Comment | Permalink
Thursday, 17 January 2008

Sebelum Merdeka


Pemerintahan Jepun baru lima tahun berakhir. Tentera Jepun baharu sahaja meninggalkan Tanah Melayu. Penulis masih belum bersekolah dan tidak mampu mengingati apa yang berlaku ketika pemerintahan Jepun kerana penulis dilahirkan kurang daripada setahun sebelum tentera Jepun mengaku kalah.

 

Suatu peristiwa penting berlaku ketika itu. Rumah penulis bersebelahan dengan ibu pejabat Tentera Jepun di pekan itu. Sewaktu dilahirkan wujud suasana yang agak mencemaskan bila ketua Jepun di situ mahu mengambil penulis sebagai anak angkatnya. Nasib penulis baik kerana rayuan ibu bapa penulis telah menyebabkan hasrat tentera Jepun tersebut tidak menjadi kenyataan. kalau tidak, barangkali, sekarang ini penulis tentu sedang berada di negara Jepun dan menganut entah agama apa.

 

Bersekolah Dalam Pondok


Keadaan sekolah dalam tahun awal lima puluhan tidak seperti yang ada hari ini dan penulis akan mencuba untuk mengingatinya walaupun ia sudah lama berlalu untuk dimanfaatkan oleh pembaca. Keadaan sesetengah sekolah amat menyedihkan. Malah, terdapat juga sekolah yang didirikan dengan kayu bulat dari hutan dan beratap nipah serta tanpa berdinding. Lantainya pula tidak disiminkan. Kebanyakan meja dan kerusi merupakan bangku panjang serta mejanya mempunyai kaki yang ditanam ke dalam tanah; tidak boleh dialih-alih lagi. Sekolah di kampung ibu penulis cuma sebuah pondok besar yang boleh memuatkan dua kelas, beratap nipah dan bertiang kayu bulat. Seorang yang paling smart dan bergaya pun cuma menggunakan sebuah basikal 'Raleigh'.

 

Sekolah di pekan tempat kelahiran penulis pula tidak banyak bezanya daripada yang terdapat di kampung. Antara satu kelas dengan kelas yang lain hanya dipisahkan dengan dinding singkat, di mana kita boleh melihat kaki murid yang berada di kelas bersebelahan. Waktu hujan lebat tempias masuk ke dalam hingga ke bahagian tengah bangunan kerana bangunan tidak berdinding. Tanah (lantai) menjadi berair dan becak.

 

Walaupun beratap nipah, bangunannya panjang hingga boleh memuatkan tujuh atau lapan kelas. Sebab itulah ia sering dijadikan tempat pertunjukan "concert" atau pada waktu itu disebut sebagai pertunjukan sandiwara yang sering dipentaskan oleh guru-guru, pegawai-pegawai kerajaan dan belia. Kaum lelaki memegang watak wanita dalam sebarang pementasan kerana kaum wanita tidak turut melibatkan diri. Penulis juga pernah melihat Allahyarham Dato' Onn berucap dalam bangunan itu. Sambutan yang diberikan kepada beliau amat hebat walaupun ketika itu beliau merupakan musuh politik Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera.

 

Bangunan yang agak hebat sedikit pada waktu itu adalah juga bangunan kayu serta berlantai kayu. Cuma tiangnya sahaja merupakan tiang konkrit. Pintunya besar dan berat. Murid-murid dari kelas atas iaitu mereka yang berada dalam darjah VI atau darjah VII serta pejabat Guru Besar biasanya ditempatkan di situ.

 

Kebanyakan sekolah tidak mempunyai bilik guru. Bilik perpustakaan juga amat sukar dijumpai, apatah lagi bilik alatan bantu mengajar atau pusat sumber dan sebagainya. Murid-murid dan guru-guru zaman sekarang amat beruntung kerana dibekalkan dengan bermacam kemudahan; kerusi empuk dan sesetengahnya mempunyai bilik berhawa dingin.

 

Air Perigi dan Taman Sekolah


Air perigi menjadi sumber air minuman di kebanyakan sekolah. Penulis masih dapat merasakan bau air perigi yang diminum dari timba di perigi bila tekak terasa dahaga. Keadaan sekitar perigi yang becak menjadi kebiasaan. Sekolah tidak mempunyai kawasan bertar, tetapi kebanyakannya mempunyai taman yang cukup terjaga. Setiap pagi murid-murid berada di semua sudut taman menguruskan kebersihan, keceriaan dan kesuburan pokok-pokok dalam taman. Dengan cara itu taman sekolah menjadi milik bersama dan sentiasa dijaga rapi. Kelemahan orang sekarang terletak dalam aspek ini. Walaupun semua sekolah sekarang mempunyai tukang kebun dan tukang sapu, keadaan kebersihan dan keceriaan sekolah kurang terjaga. Ini kerana peranan tenaga murid-murid diabaikan. Jika ada pun sekolah yang dianggap cantik sekarang ini, ia terdiri daripada sekolah-sekolah yang tidak memperkecilkan peranan yang boleh dimainkan oleh murid-murid.

 

Setengah sekolah didirikan di tepi hutan atau berhampiran kebun getah. Ada juga yang dibina dipinggir sungai. Tidak ada jalan raya yang menghubungkannya dengan pekan. Guru-guru terpaksa menaiki bot atau "jeep" sapu untuk sampai ke sekolah. Tidak kurang juga yang terpaksa berjalan kaki dengan meredah hutan dan belukar. Kereta biasa tidak boleh digunakan kerana jalanraya yang terlalu teruk keadaannya. Allahyarham abang penulis memiliki salah sebuah jeep itu, dan penulis pernah memandu jeep tersebut ketika diminta membasuhnya. Satu peristiwa lucu yang tak dapat penulis lupakan ialah ketika penulis terlanggar pagar masjid. Bayangkanlah, penulis ketika itu baru berusia sekitar 12 tahun.

 

Adakalanya, beberapa ekor binatang liar seperti babi melintasi kawasan sekolah. Ini tidak mungkin berlaku lagi pada masa sekarang.

 

Kebun Sayur Sekolah


Sesuatu yang amat berkesan dan membanggakan berlaku ialah penglibatan para pelajar di kebun sayur sekolah. Murid-murid diberikan plot kebun di mana mereka boleh menanam sayur-sayuran. Setiap pagi mereka ke kebun sayur sekolah terlebih dahulu sebelum mengikuti pengajaran guru dan kadang-kadang mereka datang pada waktu petang untuk berkebun. Ini merupakan latihan pertanian yang tak ternilai di kalangan murid-murid. Orang sekarang menyebutnya sebagai Sains Pertanian. Malangnya, ia cuma hebat pada nama, kebun sains pertaniannya tidak menjadi.

 

PAKAIAN SEKOLAH

 

Selain dikehendaki berpakaian seluar pendek, mereka tidak dikenakan sebarang pakaian seragam khas. Cuma, murid-murid dikehendaki berpakaian bersih, itu sahaja. Bagaimanapun, amat sukar bagi kita untuk melihat murid yang berpakain baru. Ini barangkali sejajar dengan status ibu bapa mereka yang rata-rata berpendapatan rendah. Ramai daripada mereka merupakan anak-anak petani dan nelayan. Anak pegawai kerajaan merupakan sebilangan kecil daripada jumlah murid sekolah. Selain daripada menjadi nelayan atau petani mereka juga adalah penoreh getah dan menjalani kehidupan sebagai tukang rumah dan seumpamanya. Kilang-kilang di merata tempat seperti hari ini tidak pernah wujud.

 

Baju Berkanji


Baju dan seluar yang dipakai perlu dikanji dan digosok lendik. Ini merupakan suatu tugas sukar kerana pada masa itu tidak terdapat sterika elektrik seperti yang kita gunakan sekarang. Sterika yang digunakan ialah sterika arang; sejenis sterika di mana arang dibakar di dalamnya. Bila ia sudah cukup membara barulah boleh digunakan. Silap langkah, percikan bara api mungkin terjatuh ke baju, lalu baju hangus dan berlubang. Penulis ada mengalaminya sekali dua ketika menggosok baju.

 

Cara guru berpakain menjadi ikutan kami semua. Waktu itu artis dan bintang filem tidak berapa kuat pengaruhnya kerana kekurangan liputan media tentang mereka. Jadi, guru-gurulah "role model" kami semua. Kalau adapun yang lain hanyalah satu atau dua orang kerani di pejabat daerah atau mata-mata (konstable polis)yang bertugas di balai polis.

 

Bersanggul Dua


Guru perempuan selalunya bersanggul dua atau rambut berjalin dua. Tiada guru perempuan yang dapat dilihat memakai tudung atau jilbat. Ada juga guru yang memakai gaun. Bila bercerimin mata hitam, nampak macam bintang Hollywood. Guru lelaki pula, berseluar putih atau berwarna krim "shark skin" dan mana-mana yang segak sentasa berkasut putih "buck skin". Merekalah hero kami semua.

 

Barangkali eloh disebutkan tentang satu perkara yang amat penulis kagumi. Ia adalah mengenai pesta buah-buahan yang diadakan di sekolah dalam musim buah-buahan. Semua murid membawa buah-buahan seperti duku, langsat, manggis dan lain-lain. Guru-guru dan kami makan beramai-ramai dan ianya sungguh meriah. Buah manggis digubah bertangkai-tangkai dan kelihatan amat cantik. Penulis agak amat sukar bagi sekolah tahun sembilan puluhan untuk menganjurkan majlis seumpama itu kerana masyarakat zaman ini tidak seperti masyarakat lima puluhan.

 

Bagaimanapun, mata pelajaran Jawi amat ditekankan. Itulah sebabnya mereka yang berpendidikan zaman lima puluhan, walaupun belajar di sekolah Inggeris, amat mahir membaca dan menulis Jawi. kami menggunakan buku Hikayat Hang Tuah bertulisan Jawi sebagai buku teks bagi pelajaran Bacaan. Pada sebelah petang pula kami belajar agama di kelas-kelas agama. Jadi kami belajar pagi dan petang di bawah asuhan guru-guru dan guru-guru agama yang amat kami kagumi.

 

Dulu kami tidak belajar Sains macam sekarang. Kami belajar satu mata pelajaran yang dinamakan Ilmu Kejadian. Kami belajar tentang pembiakan katak, merekodkan sukatan hujan dan seumpamanya.

 

Apapun, penulis amat suka menegaskan di sini bahawa sebarang bentuk dadah tidak wujud di kalangan remaja ketika itu. apa yang ada cumalah kaum Cina yang tua-tua menghisap candu.

Jasa Guru


Penulis tidak akan melupakan sampai mati jasa bekas guru-guru penulis . Merekalah yang telah mengajar penulis sehingga menjadi pandai dalam pelbagai bidang. Merekalah yang mengajar penulis menulis dan membaca. Tanpa guru, penulis rasa, kita semua entah jadi apa.....Semua orang ada guru masing-masing. Malah Perdana Menteripun ada guru. Sebab itulah pantang bagi penulis untuk menderhaka kepada bekas guru penulis. Hari ini sebilangan daripada mereka barangkali telah tiada lagi,tetapi ingatan penulis kepada mereka tetap kekal. Setiap tahun, pada hari guru, penulis cuba menghayati perkara ini. Dalam ucapan kepada murid-murid pun penulis menyelitkan tentang perkara penting ini, kerana amalan menghormati guru-guru pada zaman ini agak luntur. Malah yang terpelajar dan berkelulusan tinggi pun sentiasa memandang rendah kepada kaum guru

 

"Ya! Allah, ampunilah segala dosa guru-guruku. Berikankanlah mereka rahmat kehidupan di dunia dan di akhirat. Aku amat terhutang budi kepada mereka semua........" Tidak terbalas rasanya jasa guru-guru kepada kita semua. Oleh itu wajarlah kita sanjungi dan hormati mereka, kerana, tanpa mereka siapalah kita. Penulis sendiri secara tidak disedari ramai telah cuba mempopularkan penggunaan singkatan "Cg." bagi perkataan "cikgu". Semoga ramai guru gemar menggunakan singkatan ini pada nama mereka sebagai menunjukkan tanda kebanggaan mereka sendiri berjawatan sebagai guru. Penulis bangga menjadi seorang guru. Jadi, penulis menggunakan "Cg." pada nama penulis. Sekarang ini penulis telah melontarkan idea ini ke internet. Ia kekal sampai akhir hayat, insya'Allah.

 

Penulis sendiri pernah mengajar di beberapa sekolah bersama bekas guru penulis. Anehnya, penulis tidak boleh menganggapkan mereka sebagai rakan sejawatan hinggakan penulis tidak boleh bergurau senda dengannya sebagaimana penulis lakukan kepada guru-guru lain kerana penulis terlalu menghormati bekas guru penulis itu."Terima kasih cikgu......."

 

TEMPAT KELAHIRAN PENULIS

 

Kereta, Bas, Lori dan Basikal


Dalam pekan hanya terdapat beberapa buah kereta, bas dan lori sahaja;tidak banyak seperti hari ini. Guru Besar pun hanya berbasikal ke sekolah. Penulis masih ingat mengenai cara menjaga basikal pada waktu itu. Basikal hendaklah sentiasa bersih dan berkilat. Jadi, ada di antara pemilik basikal yang begitu cermat menjaga basikal mereka sehingga membawa 'kain kuning' pembersih basikal di handle basikal masing-masing. Basikal yang mahal biasanya mempunyai meter perbatuan. Oleh kerana tidak ramai orang menggunakan kenderaan bermotor, suasana udara tidak langsung tercemar seperti hari ini. Mereka tidak mengenali jerebu atau 'carbon monoxide'. Hero setempat yang paling kacak pun pada waktu itu hanya berjalan kaki sahaja; tiada masalah parking dan tiada masalah kesesakan jalan raya.

 

Pekan di mana penulis dilahir dan dibesarkan tidak terkecuali daripada mengalami cara hidup yang disebutkan itu. Seorang taukeh pemilik kebun getah yang agak luas membeli sebuah kereta terpakai. Sebagai orang yang baru memiliki kereta, beliau memandunya berpusing-pusing dalam pekan berpuluh pusingan tiap-tiap hari. Agaknya perlakuan seumpama itu jika dilakukan sekarang tentu ia menjadi bahan tertawa. Lagipun pekan itu sekarang telah pesat membangun dan dipenuhi oleh beratus buah kenderaan setiap hari.

 

Kereta yang agak diminati pada masa itu ialah kereta jenis Ford Prefect, Simca, Ford Taunus dan Ford Council. Ada beberapa jenis kereta lain selain daripada kereta yang disebutkan itu dan semuanya merupakan kereta import. Harganya pula dalam lingkungan $5,000.00(RM) hingga $9,000.00 (RM). Penulis menceritakan ini semua semata-semata untuk memberikan gambaran kepada pembaca tentang status kehidupan zaman tersebut.

 

Sebelum penulis bercerita lebih lanjut tentang alam persekolahan, penulis rasa lebih baik diletakkan asas yang kukuh mengenai keadaan awal lima puluhan, agar pandangan yang akan diberikan mengenai persekolahan menjadi lebih bererti.

 

Pertabalan Baginda Queen


Pertabalan Baginda Queen Elezabeth II berlaku ketika penulis sudah berada dalam Darjah II. Kami diberikan lencana pertabalan seorang satu dan kami memakainya di dada dengan penuh bangga, kerana sayangkan Baginda Queen, raja pemerintah Persekutuan Tanah Melayu. Penulis juga boleh mengingati dengan jelas bagaimana murid-murid dikerah berbaris di panas terik matahari kerana menunggu ketibaan Persuruhjaya Tinggi British, Sir Donald McGullivary yang tiba dengan tiga buah helikopter. Bayangkanlah perasaan kami kerana melihat helikopter buat kali pertama dalam hidup. Angin kipas helikopter hampir menerbang dan menumbangkan kami yang masih kecil.

 

Pengganas Komunis


Waktu itu pengganas komunis masih bertahan di hutan. Penulis selalu juga dapat melihat pasukan keselamatan yang terdiri daripada pasukan "jungle squad" yang terdiri daripada askar Melayu dan askar Gurkha keluar masuk hutan untuk memburu pengganas komunis. Mereka disokong oleh pasukan "Home Guard" yang terdiri daripada orang kampung yang terlatih dalam bidang penggunaan senapang patah.

 

Bila ada pengganas mati ditembak mereka dibawa keluar dari hutan dan ditempatkan di balai polis. Penulis dan rakan-rakan perpusu-pusu pergi melihatnya. Penulis pernah melihat sendiri bagaimana pipi penganas tembus dan robek dibaham peluru askar. Perasaan takut yang penulis alami terbawa-bawa hingga ke tempat tidur. Ada juga pengganas yang mati ditembak dibawa keluar dengan perahu jalur oleh pasukan "Home Guard".

 

Di pekan kelahiran penulis itu askar yang paling hero di kalangan kami ialah Sarjan Tahir. Keberanian beliau sentiasa menjadi buah mulut. Biasanya askar berjalan dalam barisan panjang ketika masuk dan keluar hutan. Sarjan Tahir sentiasa berada di bahagian paling hadapan dalam barisan.

 

MANDI DI SUNGAI

 

Pekan itu terletak di tepi sungai. Penulis dan rakan-rakan sentiasa ke sungai untuk mandi, kerana merasa amat seronok mandi di sungai yang luas dan tebingnya berpasir bersih (sekarang sudah menjadi keruh dan berlumpur)serta jernih airnya. Bila musim kemarau tiba, penduduk pekan tidak lagi boleh bergantung kepada perigi untuk mendapatkan air mandi atau air minuman. Mereka turun ke sungai beramai-ramai untuk mandi pada sebelah pagi dan petang. Ia menjadi semacam pesta mandi beramai-ramai setiap hari. Penulis masih ingat, di akhir tahun lima puluhan, bila penulis sudah memasuki kelas "SMC" di sekolah Inggeris, bila selesai latihan atau perlawanan ragbi, kami ke sungai beramai-ramai mandi dengan disertai oleh guru-guru ragbi.

 

Kekurangan waktu itu boleh dibayangkan melalui satu lagi perkara, iaitu jumlah kemudahan telefon yang ada. Cuma ada tiga buah telefon dalam sebuah pekan seperti pekan tempat kelahiran penulis itu. Kini kita cukup mewah dengan telefon. Setiap rumah ada memilikinya dan handset dimiliki oleh setiap lima orang. Alangkah bertuahnya orang sekarang!


Posted by cg-10 at 11:34 AM WST
Post Comment | Permalink
Mengenai Penulis
Mood:  happy
Penulis & Guru Besar SKTB.K.TER. Sehingga 15-12-1999

Penulis anak watan Terengganu dan dilahirkan pada 15-12-1944 telah bersara pada 16-12-1999. Penulis berpendidikan Melayu dan Inggeris dan memasuki maktab perguruan dalam tahun 1964. Penulis lulus dalam tahun 1966 dan mula menjadi guru terlatih pada 1967. Penulis mengajar di beberapa buah sekolah rendah sebelum dipindahkan mengajar di sekolah menengah mulai tahun 1975 setelah lulus HSC dalam tahun 1973.

Dalam 1982 penulis mengikuti kursus setahun dalam bidang teknologi pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Kemudian, pada pertengahan 1986 dilantik sebagai pengawai penyelaras Pusat Sumber Daerah, Kuala Terengganu dan pada tahun yang sama dilantik pula sebagai Penolong Kanan sekolah menengah.

Dalam 1987 penulis dilantik menjadi pengetua sekolah menengah dan sempat menjadi pengetua di tiga buah sekolah menengah. Kemudian dalam tahun 1991 penulis kembali ke pangkuan sekolah rendah sebagai Guru Besar sekolah gred A.

Selain bertugas sebagai pendidik penulis terlibat sebagai tenaga pengajar dalam kursus anjuran jabatan dan PPD serta telah menyampaikan kursus kepada guru-guru, Guru Besar dan Pengetua dalam bidang Teknologi Pendidikan, Teknologi Maklumat (IT dan HTML termasuk Pembinaan Laman Web), Pengurusan Cemerlang, ISO 9000, TQM serta photography.PENGALAMAN PENULIS AMAT BERGUNA DI TELITI DAN DIMANFAATKAN OLEH BAKAL GURU MALAYSIA dan penulis ingin berkongsi maklumat dan pengalaman dengan anda.

Kemuncak perkhidmatan penulis ialah bila penulis dihantar berkursus di Toronto, Ontario, Canada pada tahun 1994 dalam "Special Certificate in School Leadership" dan menjelajah Amerika Utara sebanyak dua kali. Beliau pernah diamanahkan oleh JPNT untuk menyampaikan kertas kerja dalam Seminar Pendidikan Kebangsaan di IAB. Beliau juga mahir dengan komputer dan pakar dalam pembinaan laman web dan HTML. Sebagai bukti, keseluruhan laman web sekolah penulis adalah hasil kerja beliau sendiri. Penulis juga webmaster kepada beberapa laman ketika dalam perkhidmatan.

.

Posted by cg-10 at 10:38 AM WST
Post Comment | View Comments (1) | Permalink

Newer | Latest | Older